Jangan malu, jangan segan, sila klik ramai2 ^_^

Tuesday, July 8, 2014

Setelah Sekian Lama

Salam semua.

Lama sangat-sangat tak menulis dalam ni. Entah bila kali terakhir berkunjung pun tak pasti. Apa-apa pun perasaan untuk menulis tak pernah surut cuma kekangan waktu dan kesibukan dengan urusan harian.

Secara ringkas;

Pertamanya, Salam Ramadhan buat semua yang membaca. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya.

Keduanya. Alhamdulillah cinta hati kesayangan saya telah menginjak usia satu tahun pada 13June yang lepas. Terasa bagaikan semalam saya melahirkan dia. Dan kini dia membesar dengan sihat, bijak, insyaAllah solehah juga hendaknya. Niat di hati untuk menulis catatan perkembangan Hannan Izdihar dari usia 9bulan hingga 12bulan. Tapi masa sangat tidak mengizinkan.

Ketiganya, Alhamdulillah. Saya kini bergelar pelajar semula. Semoga segera selesai urusan pengajian ini supaya dapat sama-sama membantu suami dalam urusan rumahtangga kami. InsyaAllah.

Keempat, kami masih bertiga. Belum ada perancangan untuk adik Hannan. Masih terlalu banyak untuk difikirkan. Merasakan diri masih banyak kekurangan dalam bergelar seorang IBU.


Mungkin cukup sekadar ini. Hingga berjumpa lain waktu.

Wassalam.


Monday, March 31, 2014

Under Construction

Salam semua.

Godek-godek nak tukar layout blog teru jadi macam entahape2entah.

So, ambil masa untuk jadikannya cantik (konon-konon) supaya anda semua tak jemu nak singgah. Apa yang pasti, tema semestinya putih suci murni.

Ok. Tunggu nanti rajin baru mekap-mekap lagi. Banyak lagi kerja lain.

Bye.


Monday, March 17, 2014

Hannan Izdihar : 6-9 bulan

Salam semua.

Terlalu cepat masa berlalu hingga sedar tak sedar si kecik kesayangan sudah berusia sembilan bulan. Terlalu banyak moment indah yang ingin aku coretkan supaya terus menjadi kenangan hari akan datang. Mungkin bukan semua mampu untuk aku coretkan, tapi sekurangnya sedikit penulisan ini dapat menghalang daripada ia berterusan lupus dari ingatan.

Bila umurnya memasuki usia 6bulan, Hannan bagaikan protes kalau aku letakkan dia di dalam carrier. Jadi penyelesaian, dia di dalam trolley setiap kali kami ke pasar dab dia gembira!

Pertama kali aku bawa dia ke outdoor playground ketika usianya 7bulan 5hari. Dia memang tak pandai main lagi, aku yang tolong dia untuk turun papan gelongsor. Dan dia suka!

Masa umurnya 7bulan++, dia demam panas teramat sangat. Sedih dibuatnya melihat dia tak mahu makan, hanya mahu menyusu dan berdamping dengan aku. Makin luluh hati bila badannya mula susut. Dan paling meruntun jiwa bilamana dia ditahan di hospital. Sedih. Tak terungkap dengan kata-kata bila tengok dia meronta kesakitan bila Doktor dan nurse cuba dapatkan satu tube darah. Tapi, percubaan kedua-dua belah tangannya GAGAL. Menangis aku melihat si kecik itu menahan kesakitan.

Gigi pertamanya muncul pada usia 7bulan27hari (ini yang aku perasan), bukan satu tapi dua batang gigi tumbuh serentak di bahagian gusi bawah. Excitednya aku bila tahu. Suka! Terasa Hannan semakin besar :(

Dua minggu sebelum usianya 9bulan, aku cuba untuk tocangkan rambutnya. Pokok klapak pilihan aku sebab rambutnya panjang depan jadi tak boleh nak tocang dua. Walaupun ayahnya tak suka tocang pokok klapak tapi dek kerana kesian tengok Hannan rimas dan panas, maka ayahnya redha dan pasrah.

4hari sebelum usianya 9 bulan, aku buatkan pasport antarabangsa untuk dia. InsyaAllah ingin bawa dia berjalan melihat tempat, budaya orang. Aku memang suka travel, ingin aku tanamkan juga dalam diri Hannan supaya belajar dari pengalaman dan pengamatan sekeliling.

9bulan 1hari aku bawa Hannan jelajah pulau Langkawi. Tapi outdoor aktiviti sangat terbatas kerana cuaca yang panas pada hari kami sampai dan hujan pada hari kedua-ketiga kami di sana. Bahagia bila melihat Hannan teruja melihat peguin dan kawanan ikan berenang-berenang di Underwater World Langkawi.

Hannan semakin ramah, bertegur sapa dengan penumpang kapalterbang seat belakang kami, tersenyum-senyum dengan foriegner semasa menunggu boarding time. Cuma bahasanya masih bahasa bayi. Aku belum dengar jelas Hannan menyebut "mama" atau "ayah". Mungkin kadang-kadang responnya terhadap aku atau suami kedengaran seperti dia berkata-kata. Tapi setakat itu sahaja.

Doa aku semoga Hannan membesar dengan sihat, cergas, cerdas dan solehah. Menjadi muslimah yang elok budi bahasanya.

Wassalam.

Monday, March 10, 2014

(Entry Tanpa Tajuk)

Salam semua.

Dah lama aku tak menulis. Banyak sangat dalam hati ni. Tak mampu untuk aku luahkan dengan kata-kata. Kadang-kadang hati aku menangis. Kadang-kadang aku rasa nak lari jauh dari semua orang.

Mungkin entry ni lebih kepada luahan peribadi aku. Aku menulis untuk leraikan kekusutan dalam diri. Aku nak hilangkan beban dalam hati aku.

Kadang-kadang aku tertanya ke mana hala tuju hidup aku. Apa sebenarnya yang aku harapkan dalam hidup ini. Apa tujuan aku belajar? Macam-macam aku fikirkan. Melihat kawan-kawan berjaya degnan kerjaya masing-masing, membuatkan aku rasa rendah diri. Nak pergi jauh dari kelompok sahabat yang pernah bersama beriringan ke dewan kuliah. Melihat kawan-kawan sibuk mencari asset untuk masa depan, aku terfikir harta apa yang aku ada melainkan suami dan anak?

Pernah terlintas dalam hati untuk terus bergelar "house manager" tapi taraf hidup yang tinggi di bandar, membantutkan niat aku. Aku perlu lakukan sesuatu.

Sebulan lebih yang lepas, aku dirisik untuk sambung belajar, tapi aku tangguh kan dahulu sebabnya aku sudah berjanji dengan seseorang untuk bekerja dengannya. Tapi belum pun sebulan aku di situ, aku terpaksa tarik diri kerana aku rasakan tiada jiwa. Tambahan pula, suami bagaikan berat hati bilamana dia pulang kerja aku masih lagi di tempat kerja. Mungkin dia lagi senang bila aku menyambut dia pulang dari kerja. Redha suami itu penting dalam segala hal isteri lakukan.

Dan hari ini lagi sekali, risikan itu datang pada aku. Aku bagaikan sudah malu pada dia, jadi aku katakan akan berjumpanya untuk bincang lanjut. Mungkin ini jalan yang Allah tetapkan untuk aku.

Bukan aku tak berusaha mencari yang sepadan dengan sekeping kertas itu, tapi banyak faktor yang perlu aku fikirkan. Bila mana kini si kecik menjangkau usia setahun, aku ingin selalu ada dengannya. Oh, rindu pada anak!

Status sebagai isteri dan ibu selalu menjadi persoalan kepada si penemuduga. Bagaikan satu kesalahan kerana aku, si isteri+ibu ingin mencari secebis pengalaman di dalam makmal. Lalu aku disogok dengan persoalan yang mengganggu jiwa aku sebagai isteri dan ibu.

Mungkin aku perlu segulung sarjana dan seterusnya gelaran Dr supaya aku tidak lagi dipandang sebagai isteri+ibu yang tiada apa-apa.

Mohon doa supaya urusan hidup ini dipermudahkan. Terlalu pedih hati ini bila terkenangkannya. Betapa pada ketika ini, aku mengharapkan dapat menatap wajah tua arwah ayah kerana ketenangan pada wajahnya bisa membuatkan hati aku tenang dan damai.

Wednesday, January 15, 2014

Rezeki Itu Rahsia DIA

Salam.

Lama sangat tak menulis. 2013 dah lama berlalu. Dah 15hari di tahun 2014. Si kecik kesayangan Alhamdulillah dah genap 7 bulan. Membesar dengan sihat dan insyaAllah solehah juga.

Aku masih seperti dulu. Setia dengan status "house manager", mengurus segala hal di rumah. Goyang kaki? Itu bukan "house manager". Ada kesempatan ni pun sebab si kesayangan sudah mula pandai bermain sendiri. Cuma belum pandai mengemas mainannya sendiri.

Perasaan? Sangat-sangat bersyukur. Melihat si anak membesar di depan mata. Memerlukan aku ketika lapar, mengantuk, sakit, sedih dan semuanya. Ayahnya? Suka sangat kalau ayah dukung dia. Ayah balik kerja, terkedek-kedek merangkak ke arah pintu sambil tersengih-sengih. Bahagia.

Kecewa? Sedikit sebanyak bukan kecewa tapi mungkin terkilan. Kadang-kadang status isteri + ibu membataskan. Mungkin kerana latar pendidikan aku. Tapi aku bahagia. Sedari umur dia 1 hari, kami tak pernah berjauhan. Paling lama pun cuma 4 jam, sebab aku pergi interview. Selebihnya, aku selesa dia bersama.

Tak lengkap rasanya kalau dia tiada. Sekalipun kadang-kadang kami ibarat amazing race. Terkejar-kejar kerana dia meragam, tapi itulah nilai yang bakal menjadi ingatan.

Terlalu banyak yang aku harapkan dalam keluarga kecil ini. Terlalu jauh impian di hadapan, sedangkan aku dan suami masih merangkak ke arahnya. Bukan mudah untuk mencapai impian tapi tiada yang mustahil.

Oh, aku masih belum srmpat membuat rumusan tahun 2013. Mungkin di lain hari.

Apa-apa pun, kecewa aku di minggu lepas disinari dengan berita gembira lain. Bukan satu tapi DUA! Terasa diri dihargai. Terasa pengorbanan berbaloi. Terasa semakin dekat dengan kemanisan kesan daripada kepahitan kata-kata orang. Walau belum pasti, tapi ini adalah rezeki dariNya, aku bersyukur teramat sangat. Andai itu rezeki ketetapanNya, akan aku genggam erat.

Mungkin benar kata hati. Biarlah apa nak dikata, lalui saja mengikut arus.

Semoga 2014 ini semuanya yang indah sahaja.

Terima kasih, Allah!

Friday, December 27, 2013

Hannan Izdihar : 3-6 bulan

# Berat & Panjang
4 bulan : 6.4kg
6 bulan : 7.2kg & 70.0cm

# Meniarap : 3bulan 2hari

# First flight : 3bulan 23hari

# Angkat badan & punggung : 4bulan 2hari

# Bergerak mengundur : 4bulan 11hari

# Cubaan untuk duduk : 5bulan lebih (lupa nak catat, tapi sebelum merangkak)

# Merangkak : 5bulan 12hari

# First solid food : Percubaan pertama buburnasi + EBM masa 5bulan 21hari. Dia macam tak minat, so stop. 5bulan 26hari baru konsisten bagi setiap hari.

# Percubaan pertama berdiri sendiri : 5bulan 27hari

# Mengigau kali pertama : 6bulan (ni yang aku sedar la, taktau la kot sebelum tu aku tak sedar).

# Mula ringan mulut berbual : 6bulan

# Berendam pool buat kali pertama : 6bulan 8hari

Saturday, November 23, 2013

Nursing in Public

Salam semua.
Lama rasanya tak menulis dalam ni. Hari ni tiba-tiba rasa nak menulis untuk kenangan hari akan datang.

Topik macam biasa, topik mak-mak.

Alhamdulillah, Hannan Izdihar membesar dengan sihat. Banyak perkembangan yang aku nak kongsikan di sini, InsyaAllah bila umurnya genap 6 bulan nanti.

Cerita pasal nursing in public (NIP). Alhamdulillah, Hannan masih menyusu susu ibu sepenuhnya. Berbalik pada cerita NIP. Pertama kali Hannan dibawa keluar rumah (bukan untuk ke hospital) pada usianya 30hari kalau tak salah aku. Itu pun sekejap je setakat pergi beli pampers dekat Tesco lepas tu terus balik rumah. Tak sampai sejam rasanya. So tak ada NIP.

Kali kedua keluar rumah, ikut family kakak aku shopping raya. Dah habis pantang ke masa tu? Aku tak ingat. Tapi belum 60hari lagi. Pergi shopping di Jusco Bukit Tinggi. Aku mulanya tak nak ikut tapi kakak mengajak, aku ikut je. Tapi, aku siap bawa EBM, air panas dalam flask dan botol susu. Botol EBM tu bukan yang beku tapi yang sejuk je. Jadinya, aku balut dengan tuala supaya sejuknya tahan lama sikit. Masa dalam kereta, Hannan tidur je. Dah nak sampai Jusco, dia merengek aku bagi susu direct dan dia sambung tidur. Masuk shopping complex lagi dia layan tidur, maklum la sejuk. Tengah kakak aku sibuk beli baju untuk anak-anak-anak dia, tiba-tiba Hannan merengek. Maklum la baby menangis selalu sebab lapar atau pampers basah. So, aku pun panaskan EBM yang aku bawa tu. Caranya? Tuang sikit air panas dari Termos tu masuk stainless mug (aku memang bawa), then rendam. Memang leceh. Masa tu ZERO knowledge, tak tahu ada tempat untuk susukan baby. Aku ingatkan baby room tu semata-mata untuk tukar diapers baby. Poor me. Bila tahu ada, terus aku berdesup pergi baby room. Bagi Hannan minum yang dalam botol, dia tak puas so bagi direct feeding gak. Itulah pengalaman aku pertama kali tapi bukan NIP. Tapi nursing dalam baby room.

Kali ketiga NIP, masa keluar dengan suami nak shopping raya. Masa ni memang mencabar. Hannan meragam sikit. Jadinya, masa suami pilih baju melayu, aku pergi susukan Hannan. Dekat mana? Kerusi sebelah lift. Sebab malas nak naik baby room. Cara aku; cari kerusi yang jauh dari orang atau yang dekat dengan penjuru kemudian duduk mengadap dinding (membelakangkan orang) dan tak lupa halang dengan stroller. Aku tak ada nursing cover, jadi aku cover guna shawl lebar dan tebal.

Lepas tu, dah banyak kali NIP. Dekat KFC pun pernah. Caranya pun sama, cari tempat duduk yang tersorok. Sekarang ni kalau keluar memang tak bawa botol dah. Senang hati. Cuma bawa pampers, wipes, towel kecil dan baju extra Hannan je. Semua shopping complex dah ada baby room, memang memudahkan.

Cuma pesan aku, kepada bapak-bapak sekalian mohon jangan la sibuk-sibuk nak masuk baby room tu. Sebab apa? kadang-kadang tempat nursing tu langsirnya seciput je, tak boleh nak tutup penuh. Jadi mak-mak yang tengah susukan anak tu malu tau tak????

Pengalaman aku, aku tengah syok susukan Hannan tiba-tiba ada pakcik ni macam TERmengintai bilik nursing yang aku duduk tu. Hangin betul aku. Biasalah manusia kan kadang-kadang jalan mata melilau. Tu sebab aku kata tak payah sibuk-sibuk nak masuk sampai ke area nursing room. Kalau setakat dekat tempat tukar pampers tu aku boleh terima lagi. Sebabnya masa aku tukarkan pampers Hannan, ada sorang bapak ni tukarkan pampers anak dia kemudian terus keluar. Suami aku pun bising bila tengok kenapa ada lelaki keluar dari baby room.

Itu je la cerita pasal NIP ni.

Bye.

 

Tuesday, November 12, 2013

Sangkutkan Hapak Bajumu di Pondok Sawah

Ayah
Sangkutkan hapak bajumu
Di ampaian pondok sawah
Hamis tubuhmu
Rendamkan di sumur hujung desa
Kerana esok
Tika ayah di dewan konvo
Adik tidak mahu mendakap
Dan mengusap tengi
Biarpun bengit peluh tubuh ayah
Sebenarnya nilai segulung ijazah
Yang digenggam adik pada majlis itu.

Ayah
Tinggalkan segala di desa pingit
biar adik dapat memeluk ayah
Dengan aroma kota
Kerana
Itulah nilai seorang graduan.

Ayah
Jangan kelak kau teresak-esak
Di sudut dewan gemurh riuh
Hilai tawa adik
Bersama rakan-rakannya
Membiarkan ayah sendirian
Termangu
Kerana itulah nilai yang merobah segalanya.

Raja Sabarudin Abdullah,
April 2008,
Ipoh, Perak.

Nota : hasil nukilan arwah ayahanda tercinta istimewa buat aku sebagai hadiah sempena konvokesyen diploma. Arwah ayah tidak dapat hadir menyaksikan aku di pentas Dewan Sei Budiman, UiTM Shah Alam kerana sakit. Setahun selepas sajak ini ditulis, arwah pergi menghadap Yang Maha Esa. AL-FATIHAH.

Nota : ini adalah milik aku sepenuhnya. Seberang tiru meniru, ulang cetak atau sebagainya adalah dilarang sama sekali tanpa izin daripada aku. Mohon hormat kepada arwah yang mencipta sajak ini. Harap maklum.

Monday, October 7, 2013

HannanIzdihar First Flight

Salam semua.
Hari dah lewat malam, mata dah makin layu dan kuyu. Aku masih berjafa sebab si kecik comel kesayangan ni tiba-tiba meragam malam ni. Dia dah tidur 11.30pm tadi tapi 12.14am entah sebab apa. Menangis kuat sampai aku pun turut menangis.

Btw, semalam (06102013) dalam sejarah.
1) HannanIzdihar pertama kalinya travel by air plane.
2) Aku pertama kalinya travel by air plane dengan baby umur 3 bulan ++ (lagi seminggu cukup 4 bulan) SEORANG DIRI.

Sedikit coretan buat kenangan hari akan datang.

Flight aku dan HannanIzdihar dari Senai Airport ke LCCT. Perjalanan lebih kurang 50minit. 2,3 hari sebelum nak travel memang aku kecut perut. Risau teramat sangat. Dalam perjalanan ke airport, aku nervous entah kenapa. Gila laju heartbeat. Tapi memang sebrlum travel tu aku dok zikir dekat telinga suami "abang, risau la kalau HannanIzdihar nangis", "minta HannanIzdihar tak poo poo dalam flight", "harap-harap HannanIzdihar tidur sepanjang dalam flight" etc-etc. Biasalah bila jadi emak ni kerusauan dia melampau-lampau. Benda besar kuman pun difikirkannya.

Skip cerita cek in beg semua tu. Terus masuk cerita lepas dah nak masuk balai berlepas. Dah lalu dekat mesin scan badan tu, aku dengan terkedek-kedek dukung anak ambil beg. Lambai suami dari jauh, sedih. Mata dah panas, tahan nangis. Hahaha. Si HannanIzdihar elok je tersengih-sengih, dia selagi ada mama dia okey je. Sampai dekat gate seat full. Aku pun dukung je HannanIzdihar sambil senget-senget bahu. Duduk sebelah mamat ni, terlebih ramah lak bercerita dan bertanya. Aku tak selesa. Bangun balik, bawa HannanIzdihar jalan-jalan tunjuk kapalterbang dekat luar.

Dah pukul 12pm lebih, masih tak ada staff AA datang dekat gate. Aku dah lenguh lutut. Tiba-tiba pengumuman kata flight je KL delay! Aduh! Cepat-cepat call suami, suami dah jauh pun perjalanan dia. Aku pun tunggu je la, ambil main-main dengan HannanIzdihar. Lepas tu dengar pengumuman kata tukar ke gate 3. Kebetulan aku memang depan gate 3.

Skip cerita lagi. Dah masuk perut kapalterbang,  HannanIzdihar pun dah tidur masa tunggu giliran nak masuk flight. Tapi kejap-kejap dia terkejut bila pramugara buat pengumuman.  Dah nak take off aku terus bagi susu, memang dia minum sepuas hati. Boleh pulak masa tengah syok minum, dia poo poo. Bau boleh tahan gak la. Hahaha.  Aku dah risau takut dia nangis tak selesa. Terfikir nak pergi tukar pampers dia tapi ramai betul yang nak guna toilet. Aku pun biar je la, dia pun tak merengek. Baru nak panas bontot, pengumuman kata dah nak landing. Hahaha. 

Masa nak landing ni HannanIzdihar merengek sikit. Aku sumbat susu dia tak nak, jadinya aku bagi dia hisap jari aku. Dia senyap terus, aku pun senang hati.

Elok turun kapalterbang, sementara tunggu beg aku cepat-cepat tukar pampers HannanIzdihar. Aku tukar dekat kerusi je pun, toilet ramai sangat beratur. Elok habis tukar pampers, aku terus pergi amik beg.

Itu je la cerita aku travel by airplane dengan HannanIzdihar berdua. Rasanya okey je, tak ada masalah besar.

Bye!

Tuesday, October 1, 2013

Review Barangan Baby

Salam semua. Tiba-tiba nak menulis. Tapi tak tahu nak tulis apa. Maka mari kita buka topik mak-mak sikit. Untuk ingatan masa depan dan mungkin rujukan orang lain. Aku lately ni memang asyik lupa. Menjadi pelupa. Bila suami tanya, mesti aku jawab "tak ingat la." "lupa la" walaupun benda tu baru berlaku atau baru aku dengar. Serius betul penyakit pelupa ni.

Ini secara ringkas barangan baby yang aku guna untuk anakanda kesayangan aku dari umur 1 hari sehingga ke hari ini (3 bulan 6 hari).

Pampers
Dari umur Hannan satu hari hingga ke hari ni aku tak pernah beli pampers saiz newborn sebabnya kakak aku kata baby cepat membesar. Dan masa pregnant pun aku tak beli pampers. Sebabnya kakak aku dengan baik hati bagi aku pampers Huggies saiz S yang anak dia tak muat 2 pek!. Selain daripada tu, alasan aku tak beli pampers sebab aku dapat BANYAK sangat sample pampers saiz newborn masa pergi expo dan pergi class untuk ibu-ibu mengandung. So, kalau anda pergi expo baby pergi la minta sample pampers banyak-banyak. So far, Hannan pernah pakai pampers brand Huggies (plastik merah), Mamypoko (sample 8 keping), Baby Love (sample), PetPet. Dan sampai ke hari ni aku stick dengan PetPet sebab bagi aku harga berpatutan. Masa pregnant dulu beriya konon nak jadi environmentalist, nak guna cloth diaper tapi bila dah bersalin, virus MALAS tu banyak betul. So guna je la pampers pakai buang. Dari segi penggunaan, masa baby boleh katakan satu pek pampers yang ada 66keping tu boleh tahan seminggu je. Kiranya sebulan 4 pek. KOPAK! Sebabnya masa baby (sekarang pun baby tapi aku tak pernah panggil Hannan baby) Hannan rajin sangat poo poo. Sehari 5-6 kali poo poo. Bila makin besar ada la 2-3 kali poo poo sehari. Sekarang ni aku beli pampers PetPet saiz S yang 84keping tu boleh tahan dalam 2minggu. Kiranya sebulan guna lebih kurang 2.5 pek pampers bersamaan dengan lebih kurang RM75 - RM80. Ok la kot.


Susu
Ini isu agak sensitif sebab sekarang ramai gila ibu yang berkejar-kejar nak full breastfeed anak hingga umur 2 tahun. Aku pun bercita-cita begitu. Sebab apa? Banyak khasiat susu ibu ni, boleh google sendiri. Tapi bukanlah ibu yang tak full breastfeed tu taknak nutrient terbaik untuk anak diorang, mesti diorang ada 1001 SEBAB bukan alasan okay? Semalam sebelum tidur tiba-tiba suami cakap, "betul la baby minum susu ibu cepat pandai" sebabnya anakanda kesayangan tu dah meniarap masa umur 3 bulan 2 hari (aku tak tahu la itu awal atau lambat tapi itu perkembangan yang baik daripada kesayangan aku tu). Kembang semangkuk okay bila suami kata macam tu. Jadinya, aku masih menyusukan Hannan walau di mana sekali pun. Pergi shopping, pergi makan dekat kedai, pergi rumah sedara memang aku akan susukan dia. Cuma masa seminggu pertama aku campur dengan formula milk sebab susu macam tak nak keluar. Tak kan aku nak biar anak aku melalak kelaparan kan? Masa tu guna susu Anmum yang dapat sekali dengan gift masa discharge dari hospital. So guna la susu tu tapi tak sampai habis pun, ada lagi balance 4-5 scoop kot. 


Baju-bajan
Aku banyak beli baju brand Pigeon sebab MURAH. Ada la 3,4 pasang brand Disney, Anakku, Fiffy, beli dekat Tesco je pun ada. So far, Pegion newborn saiz pun Hannan boleh pakai lagi. Fiffy saiz 14 dah muat-muat elok terletak. Disney saiz 3-6m pun muat-muat elok terletak. Tapi bergantung pada jenis baju kot. Rompers Disney tak pernah pakaikan lagi sebab masih besar lagi untuk Hannan. Rompers Carters saiz 6m dah muat-muat dekat Hannan, saiz 9m badannya muat-muat tapi baju tu jenis panjang so macam tak comey sangat bila Hannan pakai. Tapi aku pakaikan gak. Setakat ni aku suka pakaikan Hannan rompers waktu siang sebab sekarang ni kan panas, kesian pulak anak kalau pakaikan seluar waktu hari panas. Tapi kalau redup nak ke hujan tu aku pakaikan la baju 2 pieces. Malam selalunya pakaikan long sleeves sebab tidur dalam aircond. Aduuiiii. Kecik-kecik dah tidur aircond, kopak la mama&ayah nak pasang aircond dekat bilik anak nanti. Nak buat macam mana lahir pun dalam aircond, masa jaundice kena phototreatment pun bilik beraircond. So, terima je la bila anak KURANG selesa kalau panas.


Botol Susu & Puting Botol
Ini bab paling menyedihkan. Walaupun aku sekarang fulltime dekat rumah dan Hannan pun filltime mengempeng dengan aku, tapi aku tetap ajar dia guna botol. Masa dalam pantang, okay je minum EBM ikut botol. Aku guna botol dan puting biasa je. Entah brand apa, beli dekat jusco tapi yang penting BPA FREE. Lepas tu, bila raya balik rumah mertua peti ais satu pintu jadi susah aku nak buat stok dan bagi EBM dekat Hannan jadi aku memang direct feed je. Lepas tu aku semakin malas nak mengepam so Hannan makin syok mengempeng dengan aku. Lebih kurang dah nak habis raya, aku pun rasa macam nak bagi balik EBM dekat Hannan. TAPI dia reject puting botol! Masalah betul. Aku beli botol Pegion Peristaltic Plus, mula-mula okay je dia minum lepas 3,4 cubaan dia reject jugak. Aku sedih T__T Terus google cari puting lain. Aku malas nak beli botol banyak-banyak. Aku beli puting MAM pulak. Sekarang ni dia boleh minum puting MAM tapi waktu dia tidur lena je. Kalau tidur-tidur ayam memang membazir je la panaskan susu. sedih lagi T__T


Barangan Permainan
Masa aku pregnant, aku selalu kata dekat suami taknak biasakan Hannan dengan barang permainan atau gadget. Jadinya aku memang tak beli. Bila Hannan dah mula pandai pegang atau nampak, aku belikan mainan Lamaze untuk dia. Tujuan untuk dia leka bila aku letak dia dalam stroller. Tapi memang sekejap je la. Jadinya mainan Lamaze tu aku letak je dalam kereta. Aku belikan mainan Simple Dimple yang bila tekan ada bunyi "pep pep" macam tu. Tujuan aku untuk ajar motor atau otot atau apa sahaja pada Hannan bergerak. Tapi tangan Hannan comey sangat, tak boleh nak genggam mainan tu. Sampai la satu masa, suami letak remote Astro depan dia, bukan main dia perhatikan remote tu. Jadi kesimpulan kami suami isteri, Hannan mula tertarik pada WARNA. Maka kami pun belikan softbook untuk dia. Softbook yang murah je dulu tapi colorfull. Harap-harap Hannan suka.


Rocker
Aku rasa rocker benda mahal pertama yang aku beli untuk Hannan. Masa tu aku mengandung 5/6 bulan macam tu. Beli online je pun, sorry aku tak ingat apa nama online shop tu dah lama sangat.. Aku beli rocker brand Fisher Price dengan harga RM170 termasuk pos ke ceruk semenanjung ni. Murah kan? Aku pun tak percaya dan ragu-ragu mula tu tapi bila dah ada kawan yang beli dan puas hati, maka aku pun teruskan niat. Tapi sekarang Hannan dah taknak duduk dalam rocker sebab dia dah mula meniarap. Sempat la guna rocker lebih kurang sebulan. Jadinya tunggu Hannan besar sebelum transform rocker tu jadi rocking chair pulak.


Set Tilam Baby & Quilt
Set tilam baby (1 tilam, 2 bantal petak, 2 bantal peluk berserta sarung) aku beli dengan BantalKabu. Boleh search dekat FB. Tapi aku tak beli online, aku pergi terus ke kedainya dekat Batu Pahat ke mana entah. Lupa lak. Jimat la duit pos dan boleh tengok depan-depan corak yang ada. Harga berbeza mengikut kualiti kain. Aku beli yang harga RM180 tidak termasuk pos. Quilt ni aku baru je beli buat lapik Hannan golek-golek atas lantai sebab dia dah pandai menairap kan. Aku beli online daripad Needles Crafts (boleh search dekat FB). Aku pilih corak A B C konon-konon boleh la ajar Hannan sambil dia bergolek-golek tu. Hannan pun kadang-kadang cuba nak "korek-korek" huruf atau gambar dekat quilt tu. Harga? Boleh direct pm pada owner Needles Crafts.


Toiletries, Pencuci Botol, Sabun Basuh Baju dan Minyak Baby
Aku agak skema sikit bab-bab sabun ni. Aku cari sabun yang bebas daripada Sodium Lauryl Sulfate (SLS), Sodium Laurylether Sulfate (SLES) dan Paraben. Kenapa? Pergi google sendiri. Malas nak explain. Masa 2 minggu pertama lepas lahir memang Hannan mandi tak bersabun. Bau baby dah memang wangi buat apa nak sabun-sabun lagi. Tapi aku memang ada beli travel set untuk newborn dari BabyBuds. Bau biasa-biasa je atau mungkin tak ada bau kot. Tapi aku suka sebab tak banyak buih jadi memang tak ada la SLS atau SLES tu. Lepas 2 minggu baru aku mandi dan guna sabun pada Hannan. Bila agak-agak sabun tu dah nak habis aku beli pulak brand Pegion. Ramai review kata wangi tapi bagi aku biasa je. Tak wangi pun. Aku hanya guna sabun je, lotion kadang-kadang kalau aku rajin. Bedak memang BIG NO untuk my baby. Talc powder is not good okay? Nasib suami pun tak suka aku bagi Hannan pakai bedak. Jadi mudah la bagi aku. Pegion pun aku beli travel pack je. Baby bukan guna banyak sangat sabun pun. Lepas dah agak-agak Pegion pun dah nak habis, aku beli Sebamed pulak. Yang ni aku suka, sebab WANGI! Tapi aku beli sabun je dulu yang 200ml punya. Dah sebulan lebih guna tak habis-habis lagi.

Pencuci botol dan sabun basuh baju aku guna brand Pureen. Pencuci botol aku amik yang tak ada perisa. Plastik warna hijau. Tapi lepas dah beli baru aku perasan sabun tu ada paraben. Adeeiiii. Dah la beli siap yang dapat free refill tu. Guna je la buat masa ni. Akan datang kita tukar. Sabun basuh baju brand Pureen yang botol biru. Sangat wangi macam bau baby. Masa pregnant lagi aku suka gila bau dia.

Minyak baby aku try macam-macam. Dari minyak telon, minyak bebiku, minyak mestika. Semua okay je dengan Hannan. Tak tahu mana satu yang boleh atasi masalah kembung sebab kadang-kadang je Hannan kembung.


Stroller dan Carrier
Aku ni tak ada bajet besar nak beli stroller harga ribu-ribu. Jadi masa pregnant kami suami isteri bajet RM500 je untuk stroller tapi tak beli pun, cuma survey je. Baby lahir baru nak beli cadangnya. Tapi bila baby dah lahir dan suami dah naik kerja balik lepas 2 minggu jaga aku, suami kata office dia nak bagi hadiah; stroller atau carseat. Aku macam blank. Sebab nanti kalau stroller tak menepati citarasa aku tapi kalau minta carseat belum lagi nak dimanfaatkan pada Hannan sebab aku masih fulltime di rumah. Jadi kami suami isteri pilih hadiah stroller. Dapat  la stroller brand SweetCerry tak tahu apa modelnya. Lupa dah. Masa Hanan kecik (1-2 bulan) okay je dia duduk dalam tu. Tapi makin besar, makin banyak akal dah pandai protes takmau duduk dalam stroller. Jadinya, bila tidur je letak dalam tu bila jaga berdukung la dia.

Bila Hannan dah taknak duduk dalam stroller suami minta aku survey carrier. Dan lagi sekali bajet kami tak besar, jadi kami beli la carrier brand Ergo. Ada orang kata yang itu fake sebab murah tapi aku tengok banyak je kedai (bukan online shop) yang jual macam aku beli. Malahan lagi murah dari yang aku beli (kurang RM100). Aku pun tak tahu la. So far, carrier tu tak datangkan masalah untuk aku dan suami. Tapi lagi sekali Hannan pandai demand. Taknak duduk lama-lama dalam tu. Paling lama sejam kot. Aduhhhh.


**************************

Sekarang ni aku tak sabar nak tunggu Hannan pandai duduk. Kalau pergi jusco or tesco, aku nak bagi dia duduk dalam trolley je. Senang citer.

Minggu depan Hannan Izdihar dah nak masuk 4 bulan. Sekejap je masa berlalu (lamanya aku peram entry ni).

entry tak ada gambar sebab guna laptop suami. laptop aku dah naik biul.





Thursday, September 19, 2013

Update JueLittleCloset

Salam semua.

Ada barang baru dekat kedai comey aku : JueLittleCloset

Bedak Syria. Saiz besar tapak tangan. Berat 41g rasanya. Kena tengok balik. Aku lupa. Tapi memang puas hati. Sebab besar dan wangiiiiii

Kandungan dalam kotak.

Lipstik rangkaian Miss Rose. Bila pakai rasa best. Tak nampak comot. 




Perfume gred AAA from Dubai. 

Banyak lagi. Nak tengok, boleh jenguk kedai kecik aku.

Jue Little Closet


Monday, September 9, 2013

HannanIzdihar : 0-3 Bulan

Salam semua. Lama tak menulis. Syawal pun dah habis. Tak sempat nak beraya dengan blog ni. Suami dan anak menuntut perhatian yang amat sangat walaupun sebenarnya suami yang ringan tulang dalam urusan kerja rumah. Alhamdulillah.

Sedikit coretan untuk kenangan hari akan datang, InsyaAllah. Dan dititipkan istimewa buat anakanda kesayangan, Hannan Izdihar. Cerita tiga bulan pertama bersama kesayangan mamayah.


#1 - Perkembangan secara fizikal.
Masa lahir 3.3kg, naik ke 3.5kg semasa usia seminggu. 3.8kg semasa umur 20 hari dan paling terkini 5.0kg semasa usia 2 bulan. Sekarang dah 3 bulan tak tahu la berat dia. Tunggu timbang masa check up 4 bulan nanti la.
Tinggi (atau panjang seperti dalam buku rekod) semasa lahir 51cm, ukurlilit kepala 34.5 cm. Semasa check up 2 bulan, panjang 59cm dan ukurlilit kepala 39cm. Alhamdulillah.
Rambut lebat sejak lahir. Cukur habis masa umur 2bulan 4hari. dan mula tumbuh semula seminggu lepas tu. Dah besar nanti kena kerap la potong rambut nampak gayanya.
Oh, Hannan dah sunat masa umur 2 bulan :)
Kesimpulan : sangat bambimbam sekarang ni. Sampaikan lenguh tangan kalau dukung dia. Huhuhu.


#2 - Waktu tidur
Masih tak dapat nak agak waktu tidur si manja ni. Sebabnya Hannan asyik berubah angin. Setiap kali dekat tempat baru, waktu tidur dia berubah. Tapi Alhamdulillah, malamnya semakin lena cuma merengek 2,3 kali untuk susu dan siangnya semakin aktif (mengikut keadaan dan tempat). Paling lena kalau sejuk, dapat bilik aircond siang malam lena. Bangun merengek sebab nak susu dan nak poo poo je. Oh, Hannan conquer separuh daripada queen bed, aku tidur mengiring sepanjang malam sampai sakit pinggang dan bahu, ayah dia pulak tidur rapat ke dinding. HuHuHu.


#3 - Ransangan terhadap sekeliling
Sudah mula respon terhadap orang. Sudah pandai senyum. Sudah pandai menggenggam jari, ini saat paling indah bila pertama kali Hannan menggenggam jari aku. Dah mula nak ajak orang bersembang. Dan paling terbaru yang aku perasan, dah pandai tengok TV atau laptop/tab. Aku selalu pasang lagu Alif Ba Ta dekat tab/laptop khusyuk betul dia tengok. Atau mungkin dengar. Aku tak pasti baby 3 bulan dah boleh nampak jelas ke? Yang pasti Hannan kalau aku letak atas toto/katil dan aku tak ada dekat sebelah dia, mata dia sibuk ikut pergerakan aku. Risau sangat kena tinggal. Lagi satu aku perasan, kalau tak ada orang layan dia, dia akan main-main jari dia. Macam gaya membelek jari, mungkin dia baru "discover" jari dia tu. Comey je tengoknya.


# Pakaian
Masih boleh pakai newborn saiz tapi brand Pigeon je. Kalau Fiffy saiz 14 dah nak hampir ketat. Pakai baju Anakku saiz 3bulan dah muat, cantik terletak. Rompers Carter's saiz 9 bulan badan muat-muat cuma baju tu panjang. Hannan banyak baju berseluar, sebabnya kalau beli 2pcs skirt jadi barut dah skirt tu. Tapi kalau paksi gaun rasa macam nak gigit je dia. HaHaHa.
Kesimpulannya; baju saiz 0-3bulan boleh pakai lagi, baju saiz 3-6bulan pun boleh pakai. Dah tak nampak macam baju pinjam.


# Susu
Alhamdulillah, masih minum susu ibu sepenuhnya. Opsss.. bukan sepenuhnya. Seminggu pertama campur susu formula sebab Hannan refuse breastfeeding. Semoga dapat terus susukan Hannan dengan susu sendiri selama yang mungkin. Walaupun kadang-kadang macam tak larat sebab dia asyik nak mengempeng je. HuHuHu.


Hannan Izdihar 



 

Friday, August 2, 2013

Cerita Sebelum Raya

Salam semua.

Kurang seminggu lagi nak raya kan? Rasa macam baru je 1 Ramadhan. Dalam sedar tak sedar nak hujung Ramadhan dah. Aku ni lagi la tak sedar dah berapa hari Ramadhan. Banyak wooo nak kena ganti. T___T

Raya tahun ni memang confirm lain la. Tambah-tambah sebab dah ada si kecik kesayangan hati tu. Memang raya ni tumpuan pada dia je. Walaupun dia tak tahu apa-apa, tapi mama dia tetap nak bagi anak nampak comey. Puas tawaf kedai jual baju baby nak cari baju yang kena dengan tema raya family ibu tahun ni, tapi habukkkkk. Ada jumpa dress super comey, tapi harga sama dengan harga mama dia. Apa kessss??? Tu yang aku tak suka beli barang / pakaian berjenama, kita bukan setakat beli barang / pakaian tu je tapi kita beli jenama dia jugak. Kalau orang besar (means dewasa) ok la juga. Orang tanya la juga "cantik baju ko, beli mana?". Agak-agak kalau baby ada orang nak tanya. Kalau tak ada pun, andai aku beli aku nak cakap dekat orang yang puji anak aku, "eh, mesti lah comey. baju jenama xxxxx ni.". Aku tak tau brand mahal-mahal. Aku tahu Baby Kiko, Disney (tapi dress Disney pun mahallllllllllllllll) dan seangkatan yang murah-murah takat poket mampu.

Lagi satu masalah, susah betul nak cari dress untuk baby bawah 6 bulan. Cepat betul SOLD OUT nya. Tapi hari tu pergi AEON, memang aku jadi rambang mata tengok baju baby girl. Hahahaha. Comey sangat. Aku nak beli 2 pieces untuk si comey tu tapi ayahnya kata "tak payah la. Hannan tu pinggang pun comey sangat. Nanti lurut pulak skirt/seluar dia" Huhuhuhu. Sian anak mama.

Cerita pasal menu raya pulak. Okey, bukan menu raya tapi menu berbuka puasa. Aku belum ada kesempatan nak berbuka dekat kampung a.k.a rumah ibu. Rinduuuuu. InsyaAllah minggu depan balik Ipoh. Dah plan dengan adik aku nak masak-memasak. Tapi bukan lauk-pauk tapi masak western atau mungkin lebih kepada Italian food. Encik suami pun dah request dekat aku sebab dah lama gila tak memasak untuk dia. Sian dia. Sejak mengandung berapa bulan entah dapur rumah tak berasap. Kalau berasap, maknanya suami la yang memasak. Huhuhuu. Jadi memandangkan dah habis pantang, nanti balik Ipoh boleh la memasak apa yang suami request. InsyaAllah. Oh, nak baking-membaking juga untuk raya. Rindu nak makan kek! Boleh kan makan kek???

Bye. Si comey dah memanggil.


Monday, July 22, 2013

Aku Rindu...


menjadi seperti ini lagi... ... ...

Gambar lebih kurang 12 jam sebelum pertama hati kesayangan, Hannan Izdihar dilahirkan. 
Usia kandungan 38minggu 4 hari


Terlalu banyak pengalaman mengandung yang aku rindukan. Tak terluah dengan kata-kata, cuma Allah yang tahu aku rindu mempunyai insan lain di dalam rahim.





Thursday, July 18, 2013

Lahirnya Permata Hati (Part 2)

sambungan daripada Lahirnya Permata Hati (Part 1). Dan jua bersempena permata hati genap sebulan hari ni  maka aku sambung kronologi kelahiran puteri kesayangan.

*******************

Pukul 5 lebih aku dibawa ke labour room yang sama aku kena seluk untuk cek bukaan pagi tadi. Nurse pasang ctg, cek bukaan 530pm, dh 5cm. Tapi aku masih tak rasa sakit contraction. Mungkin ini bahagian aku. Sempat layan cerita apa entah dekat TV3. 

Aku skip lagi sebab memang dah ingat-ingat lupa. 

Nak tunggu jalan buka menang lambat. Lama kelamaan aku mula rasa sakit tapi masih boleh ditanggung. Akhirnya, masa bukaan 6/7 cm Dr masukkan ubat untuk aku rasa sakit dan seterusnya untuk percepatkan bukaan. Lepas tu jangan tanya macam mana sakitnya. Kali pertama Dr offer ubat tahan sakit, aku jual mahal. Second time, terus aku setuju sebab memang tak tahan weeeeeiiiiiii. Sepanjang waktu nak tunggu bukaan sampai 10cm, dua kali nurse masukkan tube untuk keluarkan urine. Ini pun sakit gak. Rasa nak sepak je nurse tu. Lepas masuk ubat tahan sakit tu (melalui drip) aku jadi lalok. 

Sedar-sedar semua dah dalam posisi. Dr suruh push, nurse ada la dalam 3,4 orang jadi pompom girl. Suami nemang setia dengan aku sejak 4petang. Oh, aku ingat jam 930 malam proses push-push tu mula. 

TAPI!!!

Aku tak pandai push. Bila aku push nurse kata aku push kat muka. Bila aku tak rasa sakit, diorang dok suruh aku push. Tapi waktu tak rasa contraction memang tak boleh nak push. Aku dengan mamai laloknya, rasa dah give up. Aku dok merayu dekat Dr guna la method yang lain sebab aku memang dah tak larat sangat. Sampaikan aku rasa macam nak minta czer je dan sempat gak terfikir, takmau beranak dah lepas ni. Hahahahahaha.

Akhirnya, jam 1024 malam, baby selamat lahir dengan bantuan vacuum. Suami cerita, Dr gunting (epi) dan masukkan vacuum tu. Dia memang dah nampak kepala baby tapi masa tu aku memang tak sedar apa dan dah tak boleh nak push. Gila punya kuat ubat tu. Sian baby. Oh, sebelum Dr vacuum tu Dr macam marah aku (memberi motivasi sebenarnya) sebab jantung baby makin lemah. Aku ingat lagi kata Dr, "raja zubaidah, kalau saya guna vacuum pun, 80% tenaga tetap dari awak. Saya boleh tolong 20% je". 

Elok je baby keluar, Dr letak atas dada aku dan aku menangis, "baby maafkan mama. Mama tak pandai push". Masa tu memang nampak lonjong kepala anak aku. 


PERASAAN?
Tak dapat nak gambarkan. Nurse cepat-cepat bagi oxygen pada baby sebab dah biru :(


Lepas tu aku minta maaf dekat Dr lak sebab tak pandai push. Bila ingat balik macam kelakar lak minta maaf dekat Dr. Dr kata, "takpe saya dah jumpa macam-macam patient". Heheheeee. Maka bermula episod jahit-menjahit. Aku tengok ok rupa jarum dan benang tu, jarum tu rupa mata kail pun ada. Jahit sebab koyak dan jahit sebab kena gunting. Ngeri tapi sebab Dr dah bius, aku tak rasa sakit sangat. Aku siap boleh bersembang-srmbang dengan Dr. Cuma bila Dr jahit bahagian kulit tu baru rasa sakit tapi Dr gtau kenapa sakit. 

Habis jahit entah pukul berapa pun tak ingat sebab aku tertidur. Sedar-sedar dekat pukul 1am. Aku sorang-sorang dekat situ. Nak panggil nurse tapi tak jumpa loceng, aku pun sambung tidur. Tak lama lepas tu, nurse datang nak bawa pergi bilik. Tapi sebelum tu, diorang tukarkan baju dan pakaikan pad. Tapi aku takut nak turun katil ke wheelchair maka aku suruh nurse panggilkan suami. 

Sampai bilik, aku bantai tidur sampai ke pagi. Maka susu pertama yang masuk perut baby adalah susu formula. 


******************************

Itu sedikit sebanyak pengalaman aku. Nanti aku nak bagi anak aku baca. Stop dulu. Penat taip guna tab.

Bye!





Monday, July 8, 2013

Lahirnya Permata Hati (Part 1)

12 Jun 2013
Hari ni kandungan dah masuk 38minggu 3 hari. Suami akan pulang dari Johor petang nanti. Kakak dan abang ipar terbang ke Bangkok pagi ni bersama emir bambimbam tu. Pagi tu sebelum kakak ke KLIA, sempat aku dukung emir bambimbam macam biasa. Umur baru 5 bulan tapi badan sedap. Paha drumstick, pipi pau gebu, kulit macam anak korea gwiyomi. Abang ipar ada kata, "entah-entah nanti emir balik dah ada baby baru kat rumah". Aku senyum je.

Buat kerja rumah macam biasa. Suami sampai dalam pukul 7petang. Malam tu layan runningman tapi sekejap je sebab esok ada plan lain awal-awal pagi. Jadi siap-siap basuh baju anakbuah dari rumah pengasuh.

13 Jun 2013
Bangun pagi kejut si kakak dan abang ngah rafiq untuk ke sekolah. Siapkan bekal air diorang, suami hantar diorang pergi sekolah. Aku sidai baju kemudian siap-siap untuk keluar. Plan pagi tu nak pergi sarapan dekat Cyberjaya dan terus ke Putrajaya. Untuk apa? Suami konon-konon nak maternity shoot untuk aku (ni akibat dia tengok Irine buat maternity shoot). Hahahahahahaaaa. Dah 38minggu 4hari baru nak bershoot bagai. Jalan pun dah terkedek-kedek. Jalan sikit dah mengah. Tapi enjoy juga la walaupun tak ada tripod. Puas aku ngajak suami bergambar sama, ada je alasan dia. Dekat mana kami shoot? Dekat tasik dekat dengan PICC. Tak lama pun dekat situ sebab matahari dah mula bersinar. So, nak tukar port nak pergi Masjid Besi kemudian ke Masjid Putrajaya. Siap plan nak naik cruise. :P


So pergi la Masjid Besi. Alang-alang dah sampai masjid, aku nak pergi toilet. Kena naik tangga pulak. Lagi sekali termengah. Dah naik baru tahu escalator yang pak guard tunjuk ke arah toilet lelaki rupanya boleh guna untuk ke toilet perempuan gak.

Di sinilah segalanya bermula : KELUAR TANDA. Banyak kali lap tetap ada lendir bercampur darah tapi sedikit. Aku dah mula cuak. Sebab beberapa hari sebelum tu kawan aku bersalin, keluar tanda macam tu juga. Cadang nak call SIL yang kerja dekat Putrajaya tapi takpe la. Aku snap gambar nak tunjuk dekat suami. Keluar toilet dengan rasa cuak dan takut. Jumpa suami dia tanya, "ok tak?"  Sebab aku lama gila dekat toilet. Aku pun pungpangpungpang cerita. Tapi aku kata, "tak ada apa kot. Jom tangkap gambar." Hahahahahaaaa. Ingat suami nak dengar cakap aku? Harap maklum la. Terus balik rumah, pack barang apa semua. Sementara tu suami call KPMC tanya macam mana. Rumah memang tak sempat nak kemas betul-betul, berdesup pergi KPMC. Sampai sana, nurse cek yang rutin tu terus dibawa ke labour room! Mak aaaaaiiiiiii. Bertambah nervous.

Aku skip cerita sebab dah ingat-ingat lupa.

Datang sorang nurse ni. Nak cek bukaan. Oh maiiiiiii. Takut. Dah buka 2cm ok? Buat CTG contraction still moderate dia kata. Dia suruh tunggu dekat wad, so kitorang amik family suite package. Duduk la aku dekat wad, sembang gelak ketawa dengan suami. Masa ni baru sms family. Dr Haslinda datang, tanya itu ini. Katanya 4pm nanti akan cek lagi. Kalau bukaan still 2cm, boleh balik. Kalau dah banyak cm, paham-paham je la. Nurse pesan suruh kira contraction. Macam mana? Aku pun google macam mana nak kira, siap download apps dekat tab husband tapi still tak tau macam mana rasa contraction tu. Hahahahaaaa. Pukul berapa entah nurse datang lagi buat CTG. Dia pegang perut aku, "rasa kan contraction?" Aku? Tak rasa apa-apa. Hahahaha. Dia kata, "tak payah balik la. Confirm bersalin malam ni." Bersungguh dan penuh keyakinan dia cakap. Aku dengan suami pun senyum-senyum je.

Pukul4 lebih, Dr Haslinda datang lagi. Siap bawa mesin ultrasound lagi. Dia tengok result CTG, masih lagi tak kuat dan scan baby. Baby seronok dalam rahim. Dr siap set next appointment which is 22 June, sehari sebelum EDD aku. Sebelum Dr bagi discharge, dia pun nak cek bukaan. Sekaliiiiiii....dah 4cm. Terus dia kata, "eh, saya bawa awak masuk labour room la. Nanti saya pecahkan air ketuban. saya ingatkan masih lagi 2cm, awak relax je tak sakit". Lagi sekali aku nak gelak sebab memang tak rasa sakit. Dan aku mula cuak. Memang betul nurse tu kata, malam ni aku bersalin. Kebetulan, sampai waktu minum petang. Dr suruh aku makan dulu untuk tambah tenaga, mandi untuk segarkan badan. Aku pun habiskan satu mug milo dengan separuh kuih donut. Dah dah dig dug masa ni. Sebelum keluar Dr kata lagi, "dia ni jenis tahan sakit ni."



to be continued ... ... ...



Sunday, July 7, 2013

Contest Baby Ceria by http://barangbabymurah.blogspot.com

klik banner dekat atas ni untuk join

:: 12/6/2013 - 7/7/2013 ::

Ada dua kategori: 
1) untuk blog, 
2) untuk facebook.

Baca SINI untuk syarat-syaratnya. 

_________________________________________________________________________________

Maka gambar yang dipertaruhkan ialah :

"mari membeli barang baby dengan harga borong, minimum 1 barang di blog http://barangbabymurah.blogspot.com" kata emir rahimie


Kata baby, 
"salam semua. Nama saya WAN EMIR RAHIMIE BIN MOHAMED SHUKRI. Nama makteh saya RAJA ZUBAIDAH BINTI RAJA SABARADIN."

"kalau saya terpilih sebagai pemenang, saya nak pilih hadiah ERGO CARRIER warna BIRU untuk saya hadiahkan kepada baby makteh saya yang akan lahir bila-bila masa sahaja. Makteh saya sedang menunggu hari untuk bersalin."



Tuesday, June 25, 2013

Current Status; Like & Comment : Syukur, Alhamdulillah

Salam semua.
just a short update sebab menaip menggunakan tab adalah sangat tidak bahagia tapi sebelum cerita jadi basi, maka mari cepat-cepat update seringkas mungkin (?).

Tidak mahu terus berkara-kata, biar gambarajah pengganti bicara.


Status dua hari selepas bersalin. Terima kasih buat semua yang Like dan Komen statusini. Status yang paing banya Like dan Komen sepanjang aku ber"facebook". 


Hannan Izdihar. Permata hati yang dikandung selama 38minggu 4hari. 
Terima kasih buat doa kalian kepada puteri kesayangan ini. 

Thursday, June 13, 2013

His Timeline

Salam semua.

Aku saja-saja godek-godek album dekat facebook suami aku. Banyak juga gambar dia upload, terutama gambar kerja dan gambar pemandangan. Gambar personal memang jarang dia upload dekat facebook. Boleh kira dengan jari tangan berapa banyak gambar aku dekat facebook dia. Hahahaha. Tapi kalau tengok dekat handphone dia memang banyak la sebab aku suka snap gambar guna handphone dia. Kikikikiiii.

Godek-godek album dia, terjumpa yang ni;


Ini sebenarnya dari instagram dia. Sebelum kahwin ni, tapi sedikit error di situ. Apa errornya? Biarlah rahsia. Benda kecik je pun. Yang penting dah kahwin pun sekarang ni. Alhamdulillah. Baby pun dah on the way.

Mungkin dia patut update;

2013 : being a father to a lovely baby.

Bila baby comey ni nak keluar? Aku pun tak tahu. Rahsia Allah, bila Allah kata keluar maka keluarlah permata hati kesayangan ni. Memang tak sabar sangat dah ni.

Ok lah. Itu je nak cerita. Nanti sambung lagi. Doakan aku dan si kecik comey dalam rahim ni sihat-sihat sentiasa dan doakan baby ni cepat-cepat keluar. Ramai dah dok tanya.

Wassalam.


Sunday, June 9, 2013

A Short Note

Suami aku bukan seorang yang romantik. Nak harapkan dia ingat tarikh-tarikh penting memang agak susah, ini fakta dari zaman kami berkenalan lagi. Dan suami aku juga bukan seorang yang romantik, delivery bunga pergi pejabat isteri, atau rancang candle light dinner, atau plan percutian tanpa pengetahuan isteri. Dia bukan sama sekali lelaki spesis itu. Dia adalah dia. Hatta, masa birthday aku pun dia tak reti nak suprise aku dengan hadiah. Asyik-asyik tanya aku nak hadiah apa. Haahahahaha.

Tapi semalam,dalam keadaan mamai-mamai baru bangun tidur tambah dengan perut lapar, suami aku buat aku menangis tanpa diduga. Sungguh aku terharu. Semuanya kerana satu nota ringkas yang ditulis di facebook. Btw, aku kini kat Puchong tunggu hari untuk bersalin dan suami pulak di Johor mancari rezeki.


Semuanya gara-gara ini. Serius, semalam je entah berapa puluh kali aku baca status dia ni. Setiap kali baca, setiap kali itu juga aku terharu. Dia bukan seorang yang romantik tapi kata-kata dia selalu buat aku rasa nak nangis. Gambar UPT tu kalau tak salah aku kitorang snap masa awal-awal pregnancy dulu. Hanya sekadar kenangan kami bersama. Tapi tak sangka dia upload dekat facebook. Dan paling aku tak sangka, rupanya dia masih simpan gambar ni. Aku ingatkan dia dah delete.

Apa-apa pun, hari ni si kecik comey ni dah 38minggu dalam rahim aku. Aku menanti hari tunggu dia bagi signal nak keluar. Doa-doa la semoga semuanya sihat dan selamat.